Friday, October 30, 2009

Inilah Kekuatannya!


Tangan menulis, hati berbicara..


Bismillah..

Alhamdulillah, sudah tiga hari penulis dan sahabat-sahabat melangkah keluar dari dewan peperiksaan matrikulasi Al-Azhar (STAM ), moga-moga dengan berkat doa, usaha dan tawakkal sepenuhnya kepada Allah S.W.T, kami mengharapkan keputusan yang cemerlang. Semoga dengan keputusan yang dicapai itu dapat meneruskan cita-cita yang diimpikan dan yang paling penting, terus memacu bahtera dakwah di muka bumi ini.

Ya, sudah tiga hari berlalu, pelbagai program yang dijalankan oleh kami dalam masa tiga hari ini, antaranya futsal, makan-makan, ziarah, open house dan sebagainya. Tujuannya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mengukuhkan lagi persahabatan yang telah terbina di atas dasar ukhwah islamiyyah.

Imam As-syahid Hassan al Banna pernah berkata ;
" Yang aku mahu dengan kamu semua berUkhuwwah ialah hati-hati dan ruh-ruh diikat dengan ikatan Aqidah. Aqidah adalah ikatan yang paling kuat dan mahal. Tidak ada kekuatan dalam Dakwah ini tanpa kesatuan dan tidak ada yang dinamakan kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (sesama kamu). Kasih sayang yang paling tinggi ialah Al-Ithar (mengutamakan orang lain melebihi diri sendiri”. Firman Allah swt bermaksud, “Sesiapa yang terselamat dari bersifat bakhil pada dirinya (hanya mengutamakan dirinya sendiri), maka mereka adalah orang-orang yang berjaya)”." [Hasan Al-Banna]


Begitulah cantiknya ukhwah yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada hambanya yang beriman dan bersyukur di atas nikmatNya. Persahabatan yang dibina atas dasar aqidah dan iman adalah sebaik-baik persahabatan yang pernah terbina di atas muka bumi ini. Lihat sahaja bagaimana persahabatan diantara Rasulullah S.A.W dan para sahabat, mereka bersama-sama menempuh segala rintangan dan dugaan demi menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Para sahabat sanggup menggadaikan nyawa mereka semata-mata kerana Allah dan Rasul-Nya.

Ambil sahaja contoh Saidina Ali yang pada masa itu seorang anak kecil sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah semasa peristiwa hijrah. Bagaimana seorang anak kecil sanggup menggadaikan jasadnya untuk dibunuh? Inilah ukhwah fillah yang telah disemai di dalam hati para sahabat oleh guru dan pendidik terulung Rasulullah S.A.W. Baginda menanamkan di hati para sahabat bahawa aqidah dan iman adalah asas penting dalam menghadapi dunia fana ini, manakala akhirat adalah cita-cita utama yang sepatutnya ada di dalam diri.

Maka, tidak hairanlah seorang anak kecil seperti Saidina Ali sanggup mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan agama Allah di atas muka bumi ini dan demi mengejar janji Allah di akhirat kelak, sebagaimana firman Allah ;

" Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). "
( As-Saff, ayat 10-11 )



Hassan al-Banna adalah pengasas ikhwan
muslimin dan beliau telah mengasaskan dakwahnya
dengan asas persaudaraan dan kasih sesama muslim


Akhirnya, ukhwah yang dibina di atas dasar aqidah dan iman inilah yang membawa manusia itu menggapai cinta dan ridho Allah S.W.T dan akhirnya membawa mereka ke syurga Allah S.W.T. Ukhwah fillah ini pula hanya dapat dirasai oleh manusia yang menjalani tarbiyah di atas jalan yang sebenar, iaitu jalan yang pernah dilalui oleh para rasul dan sahabat. Hanya jalan inilah yang akan mendekatkan diri mereka kepada Allah dan dengan jalan inilah dakwah ini berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Semua ini adalah disebabkan...

" Kekuatan dakwah adalah persaudaraan!
"


Moga kita tergolong dalam golongan tersebut iaitu golongan yang berkasih sayang kerana Allah!

Pelajar lepasan Matrikulasi Al-Azhar '09
( Batch 5 )
~jumpa lagi di Mesir, Insyaallah~



Amin ya Rabbal 'Alamin...

0 komentar:

Post a Comment