Thursday, May 7, 2009

Tapisan Dari-Nya


hidup adalah ujian

" Apakah kamu mengira kamu akan dimasukkan ke dalam syurga sedangkan kamu belum mengalami apa yang telah dialami oleh manusia sebelum kamu. Mereka telah menderita kesusahan dan keperitan hingga bergegar ( keimanan ) mereka. Sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman yang bersamanya tertanya-tanya : ' Bilakah pertolongan Allah ( akan datang ) ? ( Insaflah) pertolongan Allah itu sangat hampir "
( Al-Baqarah : ayat 214 )


Demikianlah nasib manusia-manusia terdahulu. Hidup mereka sentiasa diancam bahaya dan azab derita pedih. Sekali-kali mereka tidak pernah gusar dan takut dengan ancaman yang diberikan itu kerana di dada mereka telah tertanam kukuh iman yang cukup kental meneriakkan yang haq serta memusuhi sekeras-kerasnya yang batil. Hanya dengan kalimat ' tiada tuhan yang berhak disembah, diagungkan dan dibesarkan melainkan Allah, serta Muhammad itu sesungguhya Rasul yang diturunkanNya kepada sekalia Alam,' mereka tidak takut dicaci dan dihina oleh manusia seluruhnya. Apa yang mereka gusarkan hanyalah cacian dan hinaan di akhirat kelak.

Begitulah nasib dakwah dan pendakwah yang terdahulu sehinggalah sekarang. Derita siang dan malam dek kerana ingin melihat islam menyinari seluruh alam walaupun ramai dikalangan manusia tidak menyukainya. Seperti dalam firman Allah ;

" Mereka hendak memadamkan Nur Allah dengan mulut mereka, namun Allah pasti menyempurnakan cahayanya walaupun orang kafir tidak menyukainya. "
( Al-Saff : ayat 8 )


Persoalannya, bagaimanakah manusia-manusia ' INI ' sanggup untuk mengorbankan diri mereka hanya kerana agamanya? Mengapakah mereka sanggup untuk bermandi darah hanya kerana ingin melihat agamanya tertegak? Mengapakah mereka sanggup untuk berjaga malam, meratapi nasib diri serta bermunajat kepada tuhannya sedangkan pada keesokan harinya mereka akan diseksa lagi oleh penjahat tirani? Sehinggakan pernah ditanya seorang tokoh yang pernah diseksa dengan seksaan yang sangat dahsyat di dalam penjara, tetapi masih sanggup melakukan solat malam setiap hari, "Mengapakah kau sanggup untuk berjaga malam sedangkan keesokannya kau akan di seksa kembali oleh pegawai penjara?. Sepatutnya kau berehat untuk menghadapi segala seksaan pada esok hari. " Jawab tokoh itu dengan tenang, " Sesungguhnya tanpa solat malam ini, aku tidak akan mampu untuk menanggung seksaan yang dahsyat ini. "

Merekalah! Merekalah pemuda-pemuda dan generasi yang telah di 'TAPIS' oleh Allah S.W.T. Merekalah manusia yang telah membenarkan janji mereka kepada Allah yang mana mereka ingin membeli barangan Allah yang cukup mahal dan mulia iaitu Jannatul Firdaus. Sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W mafhumnya ;

" Sesungguhnya barangan Allah itu sangat mahal. Barangan Allah itu adalah syurga. "


Tetapi yang paling penting yang ingin dikejar oleh mereka ialah keredhaan dari Allah S.W.T. Adakah kita termasuk di dalam golongan yang ditapis ini. Wallahualam. Kita harapkan kita termasuk di dalam golongan tersebut.

Bagaimana pula kita ingin mengetahui bahawa mereka sudah ditapis oleh Allah S.W.T? Jawapannya apabila usaha dakwah mereka berhadapan dengan tekanan, ancaman pembunuhan, tahanan dan tali gantung, maka ia benar-benar menjadi suatu jihad yang sungguh berat dan memerlukan 100% pengorbanan. Pada masa itulah usaha bersungguh-sungguh dijalankan. Maka ketika saat itu jelaslah siapa yang benar-benar mengerti apa itu dakwah , kesusahan dan pengorbanan berjuang di jalan Allah, dan siapa pula yang hanya ingin berdakwah dengan senang lenang, tanpa usaha dan tanpa pengorbanan yang sewajarnya.

Beitulah prinsip yang telah ditunjukkan di dalam karakter manusia yang beriman kepada Allah, sehingga Allah menampakkan sosok tubuh keimanan mereka kepada manusia di dalam kehidupan sejak dahulu hinggalah pada saat ini, seperti Abu Bakar Assiddiq, Bilal Bin Rabah, Usamah bin Zaid. Termasuklah golongan yang seterusnya seperti Umar bin Abdul Aziz, Salahuddin Al-Ayyubi, Muhammad Al-Fateh. Tidak ketinggalan dai zaman moden masa kini, seperti, Assyahid Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Umar Tilmisani, Syeikh Ahmad Yassin, Abdul Aziz ArRantisi dan ramai lagi tokoh-tokoh yang menggegarkan dunia dengan jeritan kebenaran mereka. Seakan-akan diperlihatkan oleh Allah S.W.T. bahawa inilah penghuni syurgaKu!


Sheikh Ahmad Yassin dan Abdul Aziz Arrantisi bersama sahabat mereka yang menggegarkan dunia!

Tidak ramai yang sanggup menggenggam bara api dakwah ini, kerana ' ia ' hanya boleh digenggam oleh manusia-manusia yang hidupnya hanya untuk Allah S.W.T. Bagi diri penulis sendiri, yang masih perlu mempelajari sifat perjuangan ini, maka perlu meneliti dan mengkaji semula pendirian diri apabila sampai waktu cubaan yang di luar jangkaan. Firman Allah S.W.T;

" Di kalangan manusia, banyak yang mengaku kami beriman dengan Allah, tetapi apabila diuji dalam perjuangannya kerana Allah, ia lantas menyamakan gangguan manusia sama dengan seksaan Allah. Kalau pula datang pertolongan Tuhanmu ( wahai Muhammad ) necaya mereka berkata ini adalah kerana kami menyertai ( perjuangan ) kamu. Bukankah Allah yang lebih tahu apa yang tersirat di dada alam semesta. Allah akan mengetahui jua sesiapa yang beriman dan siapa pula yang munafiq. "
( Al-Ankabut : ayat 10-
11 )


Hakikatnya, yang menyertai bahtera dakwah ini pada awalnya ramai, tetapi yang konsisten beramal dan berjihad hanyalah segelintir daripada golongan yang ramai tersebut. Inilah tapisan Allah S.W.T. Maka, marilah kita bersama-sama menadahkan tangan berdoa, agar kita diteguhkan langkah untuk bersama-sama di dalam bahtera dakwah ini. Kita juga berharap agar kita ditapis oleh Allah S.W.T. untuk menjadi pejuang-Nya. Ayuh! sinsingkan lengan baju dan terus beramal!


Jom, bekerja dan beramal!

Wallahualam.







0 komentar:

Post a Comment