Bismillah,
Segala puji bagi Allah S.W.T Tuhan sekalian alam serta pemilik dan pencipta segala-galanya. Selawat dan Salam ke atas junjungan mulia, pendakwah terulung Nabi Muhammad S.A.W, juga kepada sahabat-sahabatnya serta ahli keluarga baginda.
Setelah sekian lama tidak berkongsi sesuatu, blog ini sudah mula ber'sarang', maka penulis mengambil inisiatif untuk membersihkan dan menceriakan semula blog ini dengan berkongsi dan merubah serba sedikit keadaan blog penulis.
Alhamdulillah! beginilah keadaan blog terbaru penulis tahun 2010. Walaupun tidak 'seceria' blog-blog penulis yang lain, tetapi inilah serba sedikit yang penulis dapat berikan kepada pembaca semua. Tetapi apa yang penting ialah penulis cuba untuk berkongsi sesuatu bagi mengingatkan diri penulis terutamanya dan pembaca sekalian agar sentiasa mengikhlaskan diri hanya kepada Allah dan cuba beramal dengan apa yang dipelajari! Insyaallah.
Sebagai mukaddimah atau pun perasmian kepada blog terbaru ini, penulis ingin berkongsi sedikit tentang kenapa penulis memilih Perjalanan Musafeer sebagai nama blog penulis. Penulis memilih nama ini adalah kerana ia berkait rapat dengan kehidupan kita sendiri sebagai hamba dan khalifah diatas muka bumi ini.
Kehidupan kita pada hakikatnya perlu menempuh jalan yang sangat jauh dan sangat panjang. Kita ibarat musafir di jalanan yang perlu sampai ke destinasi yang dituju. Tetapi, kita tidak akan sampai ke destinasi yang dituju sehingga kita diuji dengan ujian yang dapat melunturkan semangat kita. Maka dalam perjalanan itu kita dapat melihat samada kita akan berjaya sampai ke destinasi atau pun kita tersungkur di tengah perjalanan.
Hanya musafir yang tahu tujuan dan selok belok pancaroba perjalanan sahaja yang akan lulus ujian di setiap perjalanannya dan akhirnya dia dapat berehat sepuas-puasnya di pengakhiran perjalanannya iaitu destinasi yang dituju.
Apakah rahsia musafir itu sehingga dia dapat lulus dalam setiap ujian didalam perjalanannya?
Nah! hanya 3 perkara yang dia tanamkan dalam dirinya dan hanya dengan 3 perkara itulah yang menemaninya dan sentiasa melonjakkan semangatnya untuk sampai ke destinasi yang ingin dia sampai.
Apakah 3 perkara itu?
- Hidupnya hanya semata-mata untuk mengabdikan diri kepada penciptanya.
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. ( Al-Zariyat : ayat 56 )
Di sinilah musafir tersebut faham bahawa segala kehidupannya hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T tanpa sedikit pun mempersekutukannya. Melalui kefahaman tersebut, musafir ini tidak sediktpun berani melawan atau pun melanggar segala perintah yang telah ditetapkan oleh penciptanya. Maka dengan sendirinya langkah musafir ini tersusun rapi dan dia akan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak tanduknya agar tidak melanggar perintah tuhannya di sepanjang menempuh perjalanan.
2. Ikhlas kerana Allah dalam setiap perkara yang dilakukannya
Di sini musafir tersebut faham akan ujian dan cabaran yang akan dia tempuhi, maka dengan berbekalkan hati yang ikhlas tanpa dicemari segala dosa dan noda, dia akan menempuhinya dengan taufiq dan hidayah daripada Allah S.W.T. Perjalanannya akan sentiasa disinari dengan cahaya kegembiraan walaupun menghadapi segala kesukaran di dalam perjalanan. Ini adalah disebabkan hatinya yang betul-betul ikhlas dalam menggapai mardhotillah, maka dia tidak akan penat dalam perjalanannya bahkan sentiasa cergas dan bersemangat kerana kefahamannya jelas bahawa tiada apa yang lebih bernilai tanpa keredhaan dari Sang Pencipta.
3. Memperbanyakkan amal di sepanjang perjalanan.
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. ( Al-Asr : Ayat 1-3 )
Maka, dengan kefahaman yang jelas dengan 2 perkara tadi, musafir itu pun memulakan langkahnya dengan sentiasa mengutip bekalan di dalam perjalanannya. Musafir tersebut akan sentiasa berjihad dalam melawan hawa nafsu dan syaitan yang sentiasa menggodanya untuk berehat dan cuba menggodanya untuk meninggalkan perjalanannya yang menyulitkan itu. Musafir itu sentiasa menambahkan amalnya (bekalan) untuk menuju ke pengakhiran destinasinya. Dia bemusafir siang dan malam tanpa penat dan jemu sehinggalah akhirnya dia sampai ke destinasi yang dituju.
Begitulah kisah seorang musafeer yang diredhai oleh tuhannya untuk sampai ke destinasinya. Begitu jualah kehidupan kita sebenarnya yang memerlukan segala kekuatan untuk kita sampai ke destinasi yang akan kita nikmati pengakhirannya iaitu :
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.
( Al-Naba : Ayat 31 )
Maka, jadilah seorang musafir yang menginginkan redha-Nya dan segala kenikmatan yang telah dijanjikan-Nya akan kita perolehi.
"Inilah Perjalanku Sebagai seorang Musafeer "
Begitulah serba sedikit mengapa blog ini diberi nama Perjalanan Musafeer..
Akhir sekali hayatilah hadis ini :
" Wahai orang-orang Islam, bersiap sedialah kerana urusan ini adalah serius. Bersiap sedialah kerana saat berpindah sudah hampir. Sediakanlah bekalan kerana perjalanan amat jauh, kurangkan bebanan yang dibawa kerana di hadapan kamu terdapat beberapa halangan yang menyulitkan. Tidak akan berjaya merentasi perjalanan ini melainkan orang yang tangkas langkahnya. Wahai manusia, sesungguhnya menjelang hari Qiamat akan berlaku keadaan-keadaan yang gawat dan bencana-bencana yang besar dan saat-saat yang serba payah dan sulit. Di waktu itu golongan zalim yang berkuasa, golongan yang fasiq mempunyai kedudukan penting sedangkan golongan yang mengajak ke arah maaruf ditindas manakala golongan yang melarang kemungkaran ditekan. Hendaklah kalian bersiap-sedia bagi menghadapi hal itu semua dengan bekalan iman. Berpegang dan berpautlah dengan sekuat-kuatnya. perbanyakkanlah amal salih, paksakan diri mentaatinya. Bersikap sabarlah kalian menghadapi bencana dan kesusahan ini, nescaya kalian akan mendapat ganjaran syurga yang abadi..
PerjalananMusafeer telah pun bermula...
0 komentar:
Post a Comment