Monday, April 19, 2010

Terpaksa!

Bismillah

Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat illahi kerana memberikan peluang kepada diri ini untuk menghirup lagi udara segar yang dikurniakannya kepada semua hambaNya. Selawat dan salam keatas junjungan mulia dan penghulu anbiya Nabi Muhammad S.A.W.

Sekali lagi puji dan syukur kepada Tuhan sekalian alam yang telah memberi peluang kepada kita semua untuk terus lagi menghirup udara segar dan memberikan kekuatan kepada kita untuk beribadah dengan penuh rasa kehambaan kepadaNya. Ucapkanlah Alhamdulillah kerana kasih dan cintaNya kepada kita yang masih lagi memberi ruang kepada kita untuk hidup dalam keadaan aman dan harmoni di sebuah negara yang kita cintai "Malaysia".


Terdetik di hati untuk berkongsi sesuatu dengan pembaca semua tentang satu perkara yang sedar atau tidak kita sentiasa mengalaminya dalam meniti arus pembinaan diri (tarbiyah). Firman Allah S.W.T yang pernah kita baca yang bermaksud :

" Pergilah beramai-beramai (berperang di jalan Allah ) sama ada dalam keadaan senang ataupun dengan keadaan berat ( disebabkan banyaknya tanggungjawab ), dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui"
( Al-Taubah : ayat 41 )
Dalam ayat ini mengajarkan kepada sesiapa sahaja yang menggabungkan dirinya dalam bahtera dakwah ini perlu melalui satu proses tarbiyah iaitu 'tarbiyah nafsu'. Allah S.W.T telah mengajar hambaNya yang beriman agar sentiasa bergerak (beramal) samada dalam keadaan senang ataupun terpaksa. Ini adalah satu proses pendidikan yang telah diajar sejak sekian lamanya. Seseorang yang kemaruk buah mangga itu tidak akan dapat mengambil buah tersebut dia atas pokok yang tinggi melainkan dia memanjat untuk mengambilnya. Seseorang pelajar itu tidak akan dapat memahami sesuatu subjek yang dipelajarinya melainkan dia belajar daripada sesorang yang mahir tentang subjeknya. Seseorang pekebun itu tidak akan dapat menikmati hasilnya melainkan dia menanam dan memelihara tanamannya sehingga membesar. Semua ini dilakukan samada secara rela hati ataupun terpaksa, tetapi hasilnya tetap sama iaitu "berjaya ". Seseorang yang kemaruk buah mangga tadi akhirnya dapat menikmati buah mangganya itu, seorang yang tidak mengerti akan sesuatu subjek tadi telah dapat menguasainya dengan baik dan pekebun yang menanam dan menjaga tanamannya pun akhirnya dapat merasai hasilnya.

Begitu jualah kehidupan sebagai seorang hamba Allah dan daie, tugasan di bahu kita untuk membawa manusia ke jalan Allah adalah tugasan yang sangat sulit dan sukar. Terkadang kita merasa ringan melakukannya di waktu iman kita naik, tetapi jika iman kita dalam keadaan Futur (berkurang), agak sukar untuk kita bergerak da beramal. Di saat ini timbul pelbagai alasan untuk tidak mengikuti jalan yang suci ini. Alasan-alasan ini sentiasa bermain di fikiran seseorang hasil daripada godaan nafsu dan syaitan. Maka, jika diikutkan godaan tersebut, sudah tentu dia akan terjerumus di dalam kancah penghinaan dan Allah akan menggantikan dia dengan golongan yang lebih ikhlas dalam berjuang menegakkan kalimahNya.
Firman Allah S.W.T :

" Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (berperang di jalan Allah untuk membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab yang tidak terperi pedihnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah!) Allah berkuasa atas segala sesuatu "
( Al-Taubah : ayat 39 )

Subhanallah! Nauzubillahi minzalik! Jelas di sini bahawa konsep 'paksaan' di dalam pen'tarbiyah'an diri ini perlu di ambil serius oleh semua pejuang-pejuang agama Allah ini! Lihat sahaja ayat di atas Allah berjanji akan mendatangkan azab yang sangat pedih kepada mereka yang 'futur selamanya'dan menggantikan dengan golongan yang lebih ikhlas dalam berjuang. Sudah terbukti bahawa paksaan diri sahaja yang dapat mengukuhkan lagi kaki seseorang itu dalam berjuang walaupun langkahnya longlai dan tidak bermaya, seakan sebuah batu besar diikatkan di kakinya. Semoga dengan paksaan dalam pentarbiyahan itu, Allah menitipkan rasa keikhlasan kepadaNya. Inysaallah.

(Kekuatan HAMAS adalah berdasarkan tarbiyah yang dilalui oleh mereka)

Wahai orang yang berjuang dan faham akan jalan yang panjang ini, semoga Allah merahmati kalian semua dalam perjuangan ini. Ikhlaskan diri dengan sebenar-benarnya dalam meniti arus hidup ini dan mohonlah keredhaanNya. Jika berasa lemah dan letih, maka paksakan dirimu untuk terus kekal di atas jalanNya kerana tarbiyah ini bukanlah untuk jangka waktu tertentu, tarbiyah adalah sepanjang hidup. Setiap perjalanan hidup kita akan diuji dengan segala macam rintangan bermula dari yang ringan sehinggalah yang dapat 'menggegarkan' iman kita. Sepertimana yang berlaku kepada para sahabat ketika mereka dipulaukan, mereka bertanya kepada Rasulullah " Bilakah pertolongan Allah akan datang? " Subhanallah! Sedangkan sahabat yang telah dididik dengan keimanan yang benar-benar mendalam kepada Allah boleh ber'goncang' hati mereka, inikan pula kita yang bergelumang dengan dosa.
Ingatlah firman Allah S.W.T :-

" Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang dekat, nescaya mereka (munafik) megikutimu, tetapi tempat yang dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka bersumpah dengan nama Allah : 'Kalau kami sanggup, nescaya kami mengikutimu', (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa mereka adalah orang-orang yang berdusta"
( Al-Taubah : ayat 42 )
Percayalah! bahawa jalan ini sangat jauh dan penuh dengan onak dan duri. Jangan biarkan diri terjerumus dengan nafsu dunia yang sentiasa melambai dengan penuh keasyikan kepada kita. Ingatlah! tarbiyah memerlukan konsep paksaan. Melalui paksaan itu, maka timbul akhirnya keikhlasan bersulamkan iman. Tidak akan muncul pemuda yang kental jiwanya, baik akhlaknya, cermat tingkah lakunya, luas pemikirannya dan tangkas langkahnya melainkan dengan proses tarbiyah yang dilaluinya. Pemuda tersebut telah merelakan dirinya dan memaksakan jiwanya untuk ditarbiyah dengan sebenar-benarnya, agar di'sana' nanti beliau boleh memberikan kesaksian kepada Allah Rabbul Jalill bahawa beliau telah menyelesaikan tugasnya sebagai hamba.

Paksakan diri untuk ditarbiyah
Paksakan diri untuk beramal
Paksakan diri dalam beribadah
Paksakan diri untuk taat perintahNya
Paksakan diri untuk jauhi laranganNya
Dan paling penting...
Paksakan diri untuk ikhlas kepadaNya

Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita semua dalam fasa tarbiyah ini.

Bersiap menjadi Rijal,
Ayuh, Paksakan segalanya!


p/s : paksakan juga dalam menulis blog yer (pesanan kepada diri sendiri)..=)

2 komentar:

Anonymous said...

Salam..

Sekadar penambahan, paksa diri untuk belajar merelakan..sehingga istilah kerelaan menggantikan keterpaksaan dalam setiap tindakan.

Wallahu a'lam.

Salam mujahadah..

Syed said...

Jazakallah atas tambahan..

Post a Comment